
PUTRAJAYA : Kerajaan sedang menggubal pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu mendapat persetujuan dasar Jemaah Menteri pada Rabu lalu susulan syor Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan serta memperkukuh pelaksanaan sistem pemberian mata demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA).
Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan memastikan pesalah bukan sekadar dikenakan tindakan jenayah malah memikul tanggungjawab terhadap kerugian dan penderitaan yang dialami mangsa serta waris akibat kemalangan.
“Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu tetapi dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa serta keluarga mangsa.
“Mekanisme berkenaan akan merangkumi pelbagai kesalahan berat termasuk kemalangan berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, pemanduan melulu serta kesalahan lain yang menyebabkan kecederaan atau kematian,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, di sini hari ini.
Menurut Anthony, pada masa ini mangsa atau waris perlu memfailkan tuntutan sivil untuk mendapatkan pampasan.
Bagaimanapun katanya, proses tersebut sering membebankan kerana melibatkan kos guaman tinggi dan mengambil tempoh yang panjang untuk diselesaikan.
“Kadangkala mereka tidak mampu mendapatkan keadilan melalui mahkamah sebab perlu mengambil tindakan sivil dan melantik peguam. Bukan semua orang mempunyai kemampuan itu dan prosesnya boleh mengambil masa bertahun-tahun.
“Jadi sekarang ini kita nak letakkan mekanisme itu juga di bawah kes jenayah supaya ada elemen pampasan kepada keluarga mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, kadar pampasan tidak akan ditetapkan secara tetap oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
Jelasnya, penentuan itu akan mengambil kira beberapa faktor termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan kewangan pesalah.
Pada masa sama, Anthony menegaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil mengikut saluran undang-undang sedia ada akan terus dikekalkan.
Dalam pada itu, beliau menambah, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan, syarikat insurans serta pihak berkepentingan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) dimuktamadkan.
Anthony berkata, satu bengkel khas akan diadakan bagi meneliti aspek pelaksanaan termasuk takrif kecederaan serius, kaedah menentukan jumlah pampasan serta mekanisme sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana RUU ini akan memberi kesan jangka panjang kepada sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara.
“Kita mahu menghasilkan satu kerangka undang-undang yang jelas, adil, boleh dilaksanakan serta mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya proses penggubalan berjalan mengikut perancangan, kerajaan menyasarkan RUU itu dibentangkan pada persidangan Parlimen hujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2027.
Anthony turut mencadangkan supaya RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dilakukan sebelum diluluskan.





