
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, selain berterima kasih atas doa yang berterusan buat Allahyarham.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau masih berusaha kembali menjalani rutin harian, namun keadaan kesihatannya masih belum begitu kuat untuk ke pejabat seperti biasa.
Beliau turut mewakili seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian Allahyarham, selain mereka yang terus mendoakan isterinya, sama ada ketika berada di pusara mahupun dari tempat masing-masing.
Menurut Dr Mahathir, sokongan dan doa yang diterima amat menyentuh hatinya, terutama ketika berdepan kesedihan mendalam susulan kehilangan insan tersayang.
Beliau berkata, pemergian isterinya turut mengingatkan dirinya supaya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan menikmati kebersamaan dengan Allahyarham untuk tempoh yang begitu lama.

“Di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memohon maaf sekiranya terdapat salam yang tidak bersambut, lambaian yang tidak berbalas atau ucapan takziah yang masih belum sempat dijawab sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas keprihatinan, sokongan dan doa yang diberikan kepada beliau serta keluarga.





