
NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu disiplin termasuk kes buli dan penghinaan kaum di sekolah perlu ditangani segera.
Beliau berkata, ia kerana perbuatan tersebut mencerminkan kelemahan dalam sistem pendidikan yang tidak boleh dipandang ringan.
Anwar menambah, masalah akhlak dalam kalangan pelajar masih berlaku meskipun pendidikan agama kini diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif di sekolah.
“Budaya buli yang terus berulang menunjukkan gejala itu sudah menjadi satu penyakit akhlak yang memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli. Ini tidak boleh, maknanya buli sudah menjadi satu penyakit, iaitu penyakit akhlak.
“Bagi saya, inilah perkara yang perlu diberi keutamaan dalam pendidikan. Kadangkala kita terlupa teras pendidikan ialah membina nilai kemanusiaan yang berasaskan adab dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Temu Anwar bersama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, di sini hari ini.
Anwar menjelaskan, kecemerlangan akademik semata-mata tidak membawa makna sekiranya seseorang gagal memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain.
Katanya, seseorang mungkin bijak, cemerlang dan memiliki kelulusan yang tinggi sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tetapi jika tidak memahami nilai kemanusiaan serta tidak tahu menghormati orang lain maka kita perlu bertanya apakah sebenarnya yang dipelajarinya.
Beliau turut menegur sikap segelintir pihak sekolah yang lebih mementingkan imej institusi berbanding kebajikan murid yang menjadi mangsa buli.
“Pengetua atau guru besar tidak seharusnya dianggap gagal hanya kerana melaporkan kejadian buli yang berlaku di sekolah masing-masing.
“Jika sebuah sekolah mempunyai seribu pelajar dan hanya dua kes buli berlaku, itu tidak bermakna pengetuanya gagal.
“Sebaliknya, yang menjadi kesalahan ialah apabila kes itu disembunyikan atau tiada tindakan diambil untuk melindungi mangsa serta menangani masalah berkenaan,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar menyifatkan prestasi bidang perguruan negara berada pada tahap yang membanggakan, namun perlu terus diperkukuh bagi melonjakkan mutu pendidikan negara.
Beliau berkata, warga pendidik memikul amanah besar untuk memastikan institusi pendidikan bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia dan memiliki sifat ihsan terhadap sesama insan.





