
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di 10 negeri serta Wilayah Persekutuan yang dijangka berlarutan sehingga pukul 5 petang ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 2.15 petang, METMalaysia memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Di Kedah, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Terengganu, amaran melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu, manakala di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Bagi Johor pula, kawasan yang diramal menerima cuaca sama ialah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.
Di Sabah, keadaan cuaca berisiko berlaku di kawasan Pedalaman meliputi Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan, selain Pantai Barat membabitkan Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud, serta Tawau dan Kota Marudu di Kudat.
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk berlakunya ribut yang menghasilkan hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam dalam tempoh sekurang-kurangnya sejam.
“Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan METMalaysia.






