
SHAH ALAM: Ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini gagal dalam permohonannya mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang portal berita MalaysiaNow daripada menerbitkan laporan berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Hakim Noor Hayati Mat memutuskan tiada keperluan untuk mengeluarkan injunksi sementara menunggu penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Farhash, Bumi Suria Sdn Bhd dan ahli perniagaan Datuk Mohd Aminudin Mustapha.
Peguam mewakili portal berita tersebut, Rajesh Nagarajan, mengesahkan keputusan mahkamah itu serta memaklumkan mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM5,000 kepada defendan.
Menurut Rajesh, hakim menegaskan bukan tugas mahkamah pada peringkat awal untuk menentukan sama ada kenyataan yang dipertikaikan itu bersifat fitnah.
“Mahkamah menyatakan pembelaan yang dikemukakan oleh defendan tidak terbukti palsu dan oleh itu tidak ada keperluan untuk injunksi interim,” katanya dalam kenyataan.
Farhash, sebagai plaintif kedua, bersama plaintif-plaintif lain telah memohon injunksi sementara bagi menghalang portal berita, ejen atau wakil mereka daripada menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang didakwa berunsur fitnah sehingga kes saman selesai sepenuhnya.
Permohonan ini adalah sebahagian daripada saman fitnah bernilai RM10 juta yang difailkan terhadap defendan-defendan pada 30 Jun lalu.
Menurut dokumen mahkamah, plaintif mendakwa laporan MalaysiaNow berunsur fitnah kerana mendakwa Farhash dan plaintif ketiga telah menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen secara tidak sah, terbabit dalam rasuah serta amalan tidak beretika, sekaligus menjejaskan reputasi mereka sebagai ahli perniagaan dan tokoh masyarakat.
Plaintif turut mendakwa artikel tersebut tidak berasas, diterbitkan tanpa pengesahan dan dengan niat jahat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa mereka adalah individu korup, tidak jujur dan tidak berprinsip.
Mereka menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi teruk, teladan dan punitif, selain memohon perintah mahkamah supaya defendan memadam artikel-artikel berkenaan dari laman web serta mengeluarkan permohonan maaf secara penuh dan tanpa syarat kepada umum.
Pada 21 Julai lalu, Farhash menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya selepas laporan MalaysiaNow mendakwa syarikat miliknya, Bumi Suria Sdn Bhd, memperoleh lesen penerokaan mineral di Sabah daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim juga menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan itu tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan atau menganugerahkan lesen berkenaan.
Sejak tahun lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet negeri berulang kali menegaskan bahawa kerajaan negeri belum mengeluarkan sebarang lesen kepada mana-mana pihak.
Hajiji turut menyatakan segala keputusan berkaitan pemberian lesen perlombongan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri termasuk aspek ekuiti, royalti, bayaran dan pajakan sebelum diluluskan.






