
KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor, P. Sivakumaran, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Selangor atas tuduhan melepaskan tembakan ke udara di luar padang tembak pada akhir bulan lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Sivakumaran didakwa melepaskan tembakan di Kuil Penganut Sri Muniandy Swamy, Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya, pada pukul 11.30 pagi, 31 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43 akta yang sama, iaitu penjara tidak lebih setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zaki Mohd Zahid yang memohon jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan kepentingan awam dan liputan kes.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ayasamy Velu, merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menghidap masalah ‘slip disc’ dan asma serta memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Oktober ini.






