
KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu beliau tidak percaya sebuah mesin basuh boleh dihidupkan jika seseorang seberat 53 kilogram dimasukkan ke dalamnya.
Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth menyatakan demikian semasa memberi keterangan pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Badiuszaman Ahmad, mengenai kemungkinan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan sebelum ini.
“Saya tidak memeriksa saiz tong mesin basuh, tetapi diberitahu berat Zara ialah 53 kilogram.
“Saya tidak tahu sama ada berat itu boleh muat dalam mesin basuh itu, namun saya tidak percaya ia boleh dihidupkan dengan berat 53kg di dalamnya,” katanya.
Dr Hiu menjelaskan semasa pemeriksaan lokasi di asrama, beliau hanya sempat melihat mesin basuh jenis domestik di tingkat bawah bangunan berhadapan tangga, namun tidak meneliti saiz atau jumlah unit yang ada.
Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu, dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Kota Kinabalu keesokan harinya.
Jenazah Allahyarhamah digali semula pada 9 Ogos lalu bagi tujuan bedah siasat selepas muncul dakwaan mengatakan dia mungkin menjadi mangsa buli.
Prosiding inkues dijadual berlangsung pada 3, 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, serta 22 hingga 30 September bagi menyiasat punca sebenar kematian remaja berkenaan.






