
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang seekor anjing ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya di Batu 9, Cheras, Selangor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 petang apabila anjing yang berada di kawasan itu tiba-tiba menyerang mangsa.
“Beberapa jiran yang menyedari kejadian segera datang membantu dan berjaya menghalau anjing tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Kajang. Ketika ini, dia dirawat di wad kanak-kanak dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan insiden itu, anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menangkap anjing berkenaan dan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada haiwan tersebut merupakan haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam mengawal haiwan, serta Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di 03-89114222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Firdaus Md Isa, memberitahu anjing tersebut bersembunyi di bawah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan sebelum kejadian.
“Ketika kanak-kanak itu menghampiri kawasan berkenaan dengan menunggang basikal, anjing itu tiba-tiba keluar dan terus menyerangnya,” katanya.
Sebelum itu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan detik cemas seorang kanak-kanak diserang seekor anjing di kawasan perumahan, sebelum beberapa individu bertindak pantas membantu mangsa.







