
KUALA LUMPUR – Sebanyak 381 jururawat daripada keseluruhan 440 tenaga kerja profesional Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan berhijrah ke luar negara dalam tempoh empat tahun bermula 2020 hingga 2024.
Selain jururawat, penghijrahan bakat itu turut melibatkan 54 pegawai perubatan dan lima pakar perubatan, berdasarkan notis peletakan jawatan yang dihantar kepada ketua jabatan masing-masing.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran gaji lebih kompetitif di negara maju serta kadar tukaran asing yang tinggi berbanding ringgit merupakan faktor utama mendorong penghijrahan tersebut.
“Isu penghijrahan bakat dan tenaga kerja profesional ke luar negara bukanlah perkara baharu dan turut dialami oleh negara membangun lain. Buat masa ini, gaji dan insentif yang ditawarkan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk petugas kesihatan KKM, adalah seiring dengan pendapatan serta kedudukan fiskal semasa negara,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai jumlah profesional perubatan tempatan, termasuk jururawat, yang berhijrah ke luar negara sejak 2020.
Menurut Dzulkefly, KKM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menampung keperluan tenaga kerja kesihatan. “Sepanjang tahun 2020 hingga 2024, seramai 4,776 pakar perubatan telah diwartakan, selain pelantikan tetap 13,349 pegawai perubatan kontrak serta 8,121 jururawat baharu.
“KKM juga memperkenalkan pelarasan gaji penjawat awam dengan kenaikan lapan peratus berkuat kuasa 1 Disember 2024 dan tambahan tujuh peratus lagi pada 1 Januari 2026,” katanya.





