
KUALA LUMPUR: Agensi umrah, Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. mengesahkan pelakon filem Syaitan Munafik, Nadia Kesuma belum dapat dikesan selepas hilang ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, sebelum meneruskan penerbangan ke London.
Dalam satu kenyataan hari ini, Nuh Travel memaklumkan Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama 21 jemaah lain.
Menurut agensi itu, pihaknya sudah menguruskan sepenuhnya proses daftar masuk penerbangan dan mengeluarkan dua pas masuk kepada pelakon berkenaan, masing-masing bagi laluan Kuala Lumpur–Jeddah dan Jeddah–Heathrow, London.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah untuk transit sementara sebelum penerbangan ke London, semua jemaah termasuk Nadiah diberikan taklimat oleh ketua rombongan.
“Jemaah dimaklumkan supaya berkumpul semula di lokasi ditetapkan selepas selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat,” katanya.
Namun, ketika semua jemaah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya, Nadiah didapati tidak bersama kumpulan berkenaan.
Susulan itu, ketua rombongan segera memaklumkan kehilangan tersebut kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah yang kemudian membuat tiga pengumuman awam bagi meminta Nadiah hadir ke balai berlepas.
“Usaha pencarian turut dilakukan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun dia masih gagal ditemui.
“Oleh kerana kekangan masa dan arahan operasi penerbangan, pesawat akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau,” menurut kenyataan itu.
Nuh Travel berkata, insiden berkenaan segera dimaklumkan kepada ibu pejabat syarikat di Malaysia sebelum tindakan lanjut diambil dengan menghubungi petugas di Makkah dan Jeddah, selain memaklumkan suami Nadiah serta pihak muassasah di Arab Saudi.
“Usaha pencarian giat dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.
“Percubaan menghubungi telefon bimbitnya juga telah dibuat, namun tiada jawapan diterima dan mesej yang dihantar masih belum dibaca,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini Nadiah masih belum ditemui dan pihak agensi terus komited menjalankan usaha pencarian secara aktif bersama pihak berkuasa Arab Saudi.
Nuh Travel memohon orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan pencarian.
“Kami juga memohon doa semua pihak agar Nadiah dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi,” katanya.







