PUTRAJAYA: Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan dipinda bagi memastikan agensi itu kekal relevan serta ditadbir dengan tatakelola yang baik selaras dengan matlamat penubuhannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu penting supaya MARA dapat kembali kepada teras asal penubuhannya dan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi bumiputera melalui pendidikan, keusahawanan dan pelaburan strategik.
“MARA mesti diuruskan dengan terbaik dan kembali kepada core business terdahulu yang bertepatan dengan tujuan asal. Kita mesti belajar daripada kesilapan lalu dan memperbaikinya,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Katanya, beliau memberikan tempoh enam bulan kepada pihak pengurusan MARA untuk merangka rang undang-undang pindaan akta berkenaan sebelum dibentangkan kepada kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, MARA berpotensi mengurus tadbir sendiri secara penuh dalam tempoh 10 tahun akan datang, seiring dengan nilai aset semasa agensi itu yang dianggarkan mencecah RM23 bilion.
“MARA perlu dilihat bukan sekadar agensi kerajaan, tetapi sebagai sebuah konglomerat yang berdaya saing dan mampu berdikari dalam mengurus pelaburan serta asetnya,” katanya.
Zahid berkata, hasrat meminda akta tersebut sudah disampaikan kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam sesi libat urus bersama tiga agensi di bawah KKDW baru-baru ini bagi memperkukuh struktur tadbir urus dan fungsi MARA secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan pindaan Akta Orang Asli 1954 kini berada di peringkat terakhir dengan hanya beberapa pindaan kecil sedang dimuktamadkan sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Yang paling penting ialah persetujuan kerajaan negeri kerana ia melibatkan isu tanah dan bidang kuasa negeri.
“Di peringkat KKDW dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, perkara ini sudah diselesaikan. Saya juga telah membawanya ke persidangan menteri besar baru-baru ini,” katanya.
Menurut beliau, akta itu dijangka dapat dibentangkan dalam masa terdekat, sejajar dengan kenyataannya pada Mac lalu bahawa pindaan berkenaan akan dikemukakan di Parlimen selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
