
SEPANG: Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh tentera Israel dinafikan akses kepada kemudahan asas seperti air, tandas, ubat-ubatan, dan hak untuk bertemu peguam.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim, berkata laporan yang diterima turut menyebut sebahagian aktivis dipaksa berlutut dengan tangan bergari menggunakan ‘zip tie’ selama hampir lima jam, hanya kerana melaungkan slogan Free Palestine.
“Ini adalah satu bentuk layanan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak selari dengan hak asasi manusia.
“Kami menerima maklumat ini secara sah daripada sumber yang boleh dipercayai,” katanya dalam sidang media di SNCC, Sepang, hari ini.
Beliau memaklumkan beberapa aktivis Malaysia juga dinafikan hak asas mereka dalam tempoh 24 jam kebelakangan ini, namun usaha diplomatik iat dijalankan bagi membebaskan mereka.
“Dengan sokongan dan hubungan baik yang dijalinkan oleh Wisma Putra serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesej dan tekanan kita disampaikan dengan jelas kepada pihak berkaitan,” katanya.
Sani turut memaklumkan semua aktivis kini ditempatkan di Penjara Ketziot, selatan Israel, dan berada dalam keadaan selamat serta stabil.
“SNCC telah berhubung dengan wakil dari Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah), dan mereka mengesahkan sudah bertemu dengan 20 orang aktivis Malaysia.
“Namun, pertemuan susulan tidak dapat diteruskan kerana proses tersebut terganggu oleh pihak berkuasa Israel,” katanya.
Beliau berharap tempoh kritikal dalam 48 jam akan datang akan membawa perkembangan positif, termasuk kemungkinan pembebasan kesemua aktivis.