
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala usaha diplomatik dan strategik digembleng sepenuhnya bagi memastikan pembebasan segera 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar berkata beliau berhubung secara langsung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim, pagi tadi untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai status tahanan aktivis dan sukarelawan negara.
“Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia serta menggesa agar aspek kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian penuh,” katanya.
Sebelum itu, Sani dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan Malaysia mengaktifkan rundingan diplomatik berskala maksimum, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat, bagi mendesak pembebasan tahanan Malaysia.
“Perdana Menteri menghubungi saya pada pukul 8.10 pagi tadi.
“Beliau memaklumkan rundingan giat dijalankan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan Emir Qatar serta telah berkomunikasi dengan Setiausaha AS, Marco Rubio,” jelas Sani.
SNCC sebelum ini mengesahkan seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ditahan selepas flotila bantuan mereka dipintas oleh tentera laut Israel ketika cuba menembusi sekatan di Semenanjung Gaza.
Menurut pihak Israel, daripada 42 kapal dalam flotila GSF yang dijejaki secara dalam talian, 41 daripadanya dihentikan atau dipintas, dengan hanya satu kapal yang masih tidak berjaya dikesan pasukan Israel.
Flotila GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan inisiatif global melibatkan aktivis dari pelbagai negara, bertujuan menyalurkan bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Sehingga petang semalam, GSF memaklumkan melalui siaran langsung sebuah kapal bernama Marinette masih meneruskan pelayaran, dipercayai berada berhampiran pantai Mesir.






