
KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang serta-merta akan dikenakan kepada individu yang mengingkari arahan pihak berkuasa ketika menyertai perhimpunan awam bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terpelihara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menegaskan pihaknya sentiasa menghormati hak berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, menekankan kebebasan tersebut perlu dilaksanakan mengikut peraturan sedia ada, termasuk mematuhi ketetapan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam ketenteraman awam. Beliau juga menyeru penganjur dan peserta perhimpunan agar bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara aman dan terkawal.
“Polis sedia memudah cara perhimpunan tetapi semua pihak mesti memberi kerjasama dan mematuhi arahan pegawai di lapangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, langkah penguatkuasaan perlu diselaraskan untuk mengelak insiden tidak diingini memandangkan perhimpunan diadakan di kawasan tumpuan orang ramai dan laluan trafik tinggi.
“Lokasi perhimpunan adalah ruang awam yang membabitkan premis persendirian dan laluan sesak,” katanya.
Fadil berkata, polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang ingkar atau melakukan kesalahan ketika perhimpunan.
“Kita berkecuali, kita bantu penganjur supaya perhimpunan berjalan lancar namun jika ada halangan atau tindakan yang boleh menimbulkan masalah, ia mesti dielak.
“Kita mahu menjaga keselamatan awam, kesejahteraan orang ramai termasuk pelancong,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mahu menganjurkan program supaya mematuhi undang-undang dan prosedur ditetapkan.
“Kita tidak mahu ada persepsi seolah-olah pihak berkuasa menentang penganjur,” katanya.






