
KUALA LUMPUR: Semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.
“Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 23 rakyat Malaysia, yang ditahan Israel pada 2 Oktober.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam perkara ini,” menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.
Wisma Putra berkata, ia telah mengeluarkan arahan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama Kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara. Penahanan peserta GSF adalah tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” katanya.
Sehingga 3.39 petang semalam, seramai 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan oleh pasukan Israel.






