
KUALA LUMPUR: UMNO memberi jaminan akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diperhalusi dan ditambah baik terlebih dahulu sebelum diluluskan di Parlimen.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU itu berkata, pelbagai sesi libat urus dijalankan melibatkan persatuan penduduk, NGO, syarikat hartanah, pemaju serta pelbagai pihak berkepentingan lain.
“Penambahbaikan ini juga akan mengambil kira resolusi yang dicapai dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar anjuran sekretariat khas UMNO hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Katanya, UMNO menerima lebih 1,200 maklum balas dalam masa tiga hari menjelang konvensyen tersebut daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
“Yang penting, majoriti daripada mereka memahami kepentingan RUU ini.
“Tetapi mereka berpandangan dalam bentuk sekarang, RUU PSB ini tidak komprehensif dan menimbulkan banyak persoalan yang tidak terjawab,” katanya.
Konvensyen tersebut turut menyaksikan 11 pembentang dari pelbagai latar belakang termasuk Datuk Chang Kim Loong (Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan), Datuk Dr Hasan Mad (Majlis Perundingan Melayu), Prof Datuk Dr Alias Abdullah (Felo Akademi Sains Malaysia) dan peguam Adriana Abu.
Input dan cadangan dari konvensyen itu kemudiannya diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk disampaikan kepada kerajaan sebagai sebahagian usaha menambah baik draf RUU berkenaan.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, RUU PSB ini menyentuh isu kritikal seperti kebajikan penduduk yang terlibat dalam pengambilan semula tanah, kuasa kementerian, kelebihan kepada pemaju dan pertindihan dengan akta sedia ada.
“Sebab itu, banyak negeri dan rakyat mula menyuarakan kebimbangan terhadap RUU ini, dan kita tidak boleh ambil mudah,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan RUU PSB dijangka dibacakan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
RUU PSB 2025 bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama yang uzur dan daif secara terancang dan inklusif.
Namun, ia menerima bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.






