
KUALA LUMPUR: Anak perempuan kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat pada 2023.
Asnida Abdul Daim, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Beliau didakwa dengan sengaja mengemukakan pernyataan bersumpah yang tidak mematuhi kehendak notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Asnida didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat walaupun notis SPRM dihantar pada 14 November 2023.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023 dan boleh dihukum penjara hingga lima tahun serta denda maksimum RM100,000.
Pendakwa Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM100,000 dengan syarat pasport diserah, namun peguam Gurdial Singh Nijar memohon jaminan lebih rendah dan membantah syarat tersebut.\
“Anak guam saya telah mendedahkan 16 hartanah, namun inilah hartanah yang tidak didedahkan kerana syarikat terbabit tidak aktif dan dalam proses gulung tikar.
“Tentang pasport, saya rasa penting untuk diingat, adakah terdapat risiko tertuduh akan melarikan diri dari negara ini? Saya fikir tidak masuk akal kerana tertuduh sudah berumur lebih 60 tahun,” kata Gurdial.
Mahadi memberitahu mahkamah bahawa Asnida telah dua kali gagal hadir ke ibu pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 13 Feb dan 11 Mac 2026 dan hanya hadir semalam, iaitu selepas dipanggil untuk kali ketiga.
“Ini menunjukkan kebarangkalian untuk tertuduh melarikan diri daripada menjawab pertuduhan di mahkamah, oleh itu kami berpendapat jumlah jaminan yang disyorkan adalah munasabah.
“Kami juga mohon syarat tambahan berkenaan pasport dibenarkan. Tertuduh boleh ke luar negara, cuma tertakluk kepada permohonan pasport di mahkamah,” kata Mahadi.
Hakim Rosli menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.







