KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan segelintir bekas pemimpin yang kini tampil sebagai ‘wira rakyat’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sedangkan ketika berkuasa dahulu gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.
Beliau berkata, golongan berkenaan kini lantang menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan menabur janji baharu, seolah-olah mereka tidak pernah diberi peluang untuk berkhidmat sebelum ini.
“Kita kena nilai dengan cerdik dan pintar, kalau tidak kita jadi mangsa. Tambahan ini musim PRN Sabah, bertempur… semua jadi hero belaka.
“Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa? Mengapa hal-hal yang kamu sebut itu tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan Madani Sabah di sini, hari ini.
Anwar berkata, perjuangan sebenar bukanlah menimbulkan sentimen kaum atau agama, sebaliknya memperkukuh nilai, akhlak dan amanah dalam kepimpinan.
Katanya, kekayaan negara tidak boleh hanya berlegar dalam kalangan segelintir elit sehingga rakyat biasa terus terpinggir.
“Sekarang ada pula yang tiba-tiba melaung ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu? Kuasa bukan untuk ‘hak aku, hak isteri aku, hak anak aku’. Kuasa mesti digunakan untuk bela rakyat,” tegasnya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan Kerajaan Persekutuan komited membangunkan Sabah tanpa mengira perbezaan politik.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan untuk negeri itu sebanyak RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026 adalah yang tertinggi dalam sejarah negara, termasuk pemberian khas interim RM600 juta seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat Sabah menilai rekod dan keikhlasan pemimpin, bukan hanya percaya kepada janji manis menjelang pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan kestabilan politik dan perpaduan merupakan prasyarat utama untuk memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
