KUALA LUMPUR: BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan mengumumkan keputusan untuk menyertai semula UMNO dalam masa terdekat.
“Apabila sudah tiba masanya saya akan maklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada sudah menghantar borang permohonan untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Media sebelum ini, melaporkan Khairy meminta diberi tempoh beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasrat kembali menyertai UMNO.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada perbincangan mengenai hasrat Khairy kembali menyertai UMNO, selain tidak menafikan laporan mengenai desas-desus berkenaan.
Dalam pada itu, Khairy berkata, penampilannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hanya untuk membantu program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0: Reformasi Sistem Pendidikan pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru anjuran Pemuda UMNO serta tiada kaitan dengan hasratnya untuk kembali menyertai UMNO.
“Program hari ini, bukan acara politik, tetapi berkaitan pendidikan, dianjurkan Pemuda UMNO.
“Saya pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO. Jadi saya datang membantu menjayakan program ini.
“Terima kasih kepada Pemuda UMNO dan Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh kerana mengundang saya untuk memberikan pandangan berkaitan isu sistem pendidikan negara,” katanya.
