
KUALA LUMPUR: Beberapa aktivis kemanusiaan Malaysia termasuk Ardell Aryana, Haroqs, Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA) akan menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza yang dijadualkan berlepas dari Barcelona pada 10 dan 12 April ini.
Misi berkenaan bertujuan membawa bantuan serta solidariti kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, selain usaha memecahkan sekatan yang dikenakan terhadap wilayah berkenaan.
Perkembangan itu dikongsikan pendakwah PU Rahmat Ikhsan menerusi media sosial yang mendoakan kelancaran perjalanan para sukarelawan terbabit.
“Selamat belayar Kak Ardell Aryana dan adik Haroqs. Semoga selamat pergi dan berjaya memecahkan kepungan,” katanya.
Yayasan Mawaddah memaklumkan seramai enam sukarelawan tambahan turut menyertai misi berkenaan, termasuk pasangan adik-beradik Heliza dan Hazwani Helmi, manakala identiti empat lagi peserta dirahsiakan atas faktor tertentu.
Dalam perkembangan sama, PU Rahmat turut berkongsi penyertaan beberapa delegasi lain termasuk ZRA serta peserta berpengalaman daripada misi terdahulu.
Beliau menyifatkan semangat sukarelawan berkenaan sebagai luar biasa walaupun terdapat peserta berusia hampir 60 tahun yang masih aktif menyertai pelayaran kemanusiaan itu.
Menurut kenyataan Sumud Nusantara, delegasi Malaysia bagi misi tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan akan berada di Barcelona bermula 10 April bagi sesi taklimat sebelum pelayaran bermula.
Misi Global Sumud Flotilla 2.0 itu merupakan kesinambungan usaha antarabangsa bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan laut, meskipun berdepan pelbagai cabaran keselamatan dan sekatan.






