
TEHERAN: Amerika Syarikat (AS), Iran dan beberapa pihak perantara mengadakan perbincangan bagi mencapai perjanjian gencatan senjata selama 45 hari yang berpotensi membuka jalan ke arah penamatan konflik di Asia Barat secara kekal.
Menurut laporan Axios, perbincangan tersebut turut melibatkan sumber dari AS, Israel dan beberapa negara serantau yang mengetahui perkembangan berkenaan.
Namun, laporan itu belum dapat disahkan secara bebas oleh Reuters setakat ini, manakala White House dan Jabatan Negara AS belum memberikan sebarang kenyataan rasmi.
Rundingan berkenaan melibatkan cadangan perjanjian dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan gencatan senjata sementara selama 45 hari.
Tempoh itu akan digunakan bagi membolehkan rundingan lanjut diadakan ke arah penamatan perang secara menyeluruh.
Fasa kedua pula menyasarkan perjanjian rasmi bagi menamatkan konflik, dan gencatan senjata tersebut dilaporkan boleh dilanjutkan sekiranya memerlukan masa tambahan untuk proses rundingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump memberitahu Wall Street Journal bahawa Iran diberi tempoh sehingga malam Selasa untuk membuka semula Selat Hormuz, dengan amaran tindakan ketenteraan akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.
Trump turut memberi amaran AS boleh menyasarkan infrastruktur penting Iran termasuk loji janakuasa dan jambatan.
Ketegangan di Asia Barat terus meningkat sejak insiden serangan oleh Israel dan AS terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang dilaporkan mengorbankan lebih 4,000 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke beberapa sasaran di Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sekali gus mencetuskan kerosakan infrastruktur dan gangguan terhadap pasaran global serta penerbangan.
Konflik turut merebak ke Lubnan apabila kumpulan Hezbollah terlibat dalam siri serangan balas berkaitan perkembangan semasa.
Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menggesa konflik di rantau itu dihentikan serta menyatakan kesediaan membantu usaha ke arah gencatan senjata antara AS, Israel dan Iran.







