PETALING JAYA: Bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, Zaim Ikhwan Zahari kekal dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal yang berlaku tiga tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Suriyati Hasimah Mohd. Hashim selepas pendakwaan memaklumkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang sebelum ini melepaskan dan membebaskan tertuduh.
Peguam bela, Haresh Mahadewan berkata, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd. Ali memfailkan Notis Penarikan Balik Rayuan pada pagi tadi.
Menurutnya, rayuan tersebut difailkan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai lalu yang melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pihak pendakwaan memaklumkan tidak ingin meneruskan rayuan dan Mahkamah Tinggi seterusnya membatalkan rayuan tersebut,” katanya.
Pada prosiding sama, Zaim Ikhwan turut diwakili peguam, Ramzani Idris.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh memutuskan melepaskan dan membebaskan tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Namun, isteri Zaim Ikhwan, Ismanira Abdul Manaf kekal menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Disember lalu menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
