
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan enam daripada tujuh kapal milik Malaysia berjaya melepasi Selat Hormuz dan kini dalam pelayaran menuju ke negara ini dengan muatan minyak mentah.
Beliau berkata, sebuah lagi kapal masih terkandas di pelabuhan selepas mengalami kerosakan, sekali gus belum dapat meneruskan perjalanan membawa bekalan tersebut.
Susulan perkembangan tersebut, Anwar berkata bekalan minyak bagi bulan ini hingga Mei dijangka kekal stabil dan berada dalam keadaan terkawal.
“Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS) sebentar tadi memberitahu perkembangan mengenai kemudahan dan pengangkutan perjalanan kapal kita.
“Alhamdulillah semua terlepas… satu sudah pun hampir sampai, satu sudah berlepas cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan. Jadi yang enam lagi itu berjalan.
“Kita berharap bekalan minyak untuk April dan Mei itu nampak masih dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, di sini hari ini.




