KAJANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bersama 12 ahli pertubuhan itu dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Selain Nasiruddin, mereka yang turut menerima hukuman sama ialah anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib Ashaari; Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md. Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Bagaimanapun, kesemua mereka yang sudah direman sejak September 2024, akan dibebaskan hari ini kerana tempoh pemenjaraan dikira bermula dari tarikh tangkapan.
Prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang itu dikendalikan oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar yang turut mengenakan denda RM4,500 atau tujuh bulan penjara terhadap sembilan wanita ahli GISBH atas pertuduhan sama.
Mereka ialah Datin Azura Md. Yusof, 58 (isteri Nasiruddin); Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
“Mahkamah mengambil maklum pengakuan bersalah dan keinsafan semua tertuduh. Berdasarkan kiraan pentadbiran, tempoh tahanan yang dijalani sudah mencukupi dan mereka akan dibebaskan hari ini selepas urusan pentadbiran selesai,” kata Hakim Latifah.
Katanya, mahkamah turut mempertimbangkan sembilan tertuduh wanita sudah direman selama enam bulan sebelum dibenarkan diikat jamin pada April lalu serta menunjukkan rasa kesal terhadap perbuatan mereka.
Peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin berkata, walaupun hukuman penjara 15 bulan dijatuhkan, anak guamnya dibebaskan serta-merta selepas mengambil kira tempoh tahanan, cuti umum dan hujung minggu.
“Hari ini, semua 22 tertuduh bebas dan boleh pulang ke rumah masing-masing selepas pihak pentadbiran penjara melengkapkan proses pelepasan serta pemulangan wang jaminan,” katanya.
Terdahulu, kesemua mereka mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menjadi ahli kepada pertubuhan menyalahi undang-undang, mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan mahkamah pihaknya menerima representasi daripada tertuduh dan bersetuju menawarkan pertuduhan pilihan tersebut.
Sebelum ini, mereka semua berdepan pertuduhan lebih berat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
