
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Pengerusi baharu Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC).
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor memaklumkan pelantikan itu ketika mempengerusikan sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
“Yang Berhormat Sekijang dilantik sebagai Pengerusi BBC. Tahniah. Saya baru dapat pemakluman (berhubung pelantikan Dr Zaliha),” katanya.
Ahli Parlimen Sekijang itu menggantikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Ekonomi.
BBC merupakan organisasi yang terdiri daripada anggota Dewan Rakyat yang tidak termasuk dalam Kabinet, berfungsi mendukung anggota bukan Kabinet dan membantu dalam urusan Parlimen.
Sementara itu, Dr Zaliha menzahirkan komitmen untuk melaksanakan amanah itu secara kolektif dan berpasukan, berpandukan semangat tanggungjawab bersama demi memastikan kestabilan politik serta keberkesanan institusi Parlimen terus dipelihara.
Beliau berkata, menuju ke hadapan, peranan BBC akan terus diperkukuh sebagai rakan strategik Kerajaan MADANI, dalam memastikan urusan kerajaan yang dibentangkan di Parlimen dilaksanakan berteraskan kepentingan rakyat.
“Dalam kerangka ini, BBC akan berperanan menyalurkan pandangan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan secara konstruktif, sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang.
“Keutamaan juga akan turut diberikan kepada pengukuhan komunikasi dalaman serta kefahaman dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Kerajaan MADANI, atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memikul amanah sebagai Pengerusi BBC.







