PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur dan Selangor susulan siasatan pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di pusat hiburan Mansion 9, Kuala Lumpur pada 26 April tahun lalu.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Kenyataan itu turut menyebut siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan serius terhadap peraturan dan arahan ditetapkan Imigresen, termasuk pelanggaran Surat Larangan Berada Di Kawasan Berisiko Tinggi bertarikh 18 November 2019.
“Peruntukan itu jelas melarang pegawai dan anggotanya berada di pusat hiburan, rumah urut atau premis perjudian yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi,” katanya kenyataan itu.
Kenyataan itu juga mengatakan EAIC mendapati beberapa anggota yang mempunyai arahan tugas pada hari kejadian berada di pusat hiburan terbabit, sekali gus melanggar jadual penugasan rasmi.
“Selain itu, terdapat juga ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan siasatan tatatertib oleh pihak Imigresen berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
“Berdasarkan dapatan itu, EAIC memutuskan pegawai berkenaan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan syor tindakan di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Ia membabitkan kesalahan seperti cuai dalam melaksanakan tugas, tidak bertanggungjawab, tidak jujur atau tidak amanah,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, hasil siasatan turut dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM bagi pertimbangan tindakan tatatertib terhadap pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.
“Sebagai langkah penambahbaikan, EAIC mengesyorkan pegawai dan anggota yang berkhidmat melebihi lima tahun di lokasi sama ditukarkan bagi mengelak konflik kepentingan atau tohmahan.
“Penyelarasan dan pemantauan lebih ketat terhadap jadual penugasan serta rekod kehadiran juga perlu dilaksanakan.
“Selain itu, pegawai dan anggota terbabit diarah memastikan pembayaran penuh dibuat bagi perkhidmatan yang diterima di pusat hiburan berkenaan bagi mengelak sebarang tohmahan rasuah,” katanya.
EAIC turut menegaskan syor tindakan dan pembaharuan itu penting bagi mengukuhkan integriti perkhidmatan awam, selain memastikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara.
