BALING: Empat buah kelas dan pejabat di Sekolah Kebangsaan (SK) Baling di sini mengalami kerosakan selepas blok bangunan dua tingkat sekolah itu terbakar pagi tadi.
Kejadian berlaku pada pukul 10.46 pagi dan disedari orang ramai selain tiada mangsa terlibat kerana sekolah ditutup berikutan cuti hujung minggu di Kedah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pejabat terbabit mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus manakala setiap kelas dianggarkan musnah sekitar 40 peratus.
“Seramai 22 anggota BBP Baling, BBP Sik dan BBP Pengkalan Hulu, Perak dikejarkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran itu bersama empat jentera termasuk jentera bertangki.
“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran turut membantu operasi pemadaman yang kini masih dijalankan. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan komuniti setempat walaupun tiada kecederaan dilaporkan.
