KUALA LUMPUR: Tanah Haram sentiasa diiktiraf sebagai lokasi paling mustajab untuk berdoa, sekali gus mengukuhkan keyakinan umat Islam terhadap keberkatan bumi suci itu.
Bagi ramai jemaah, pengalaman doa yang dimakbulkan menjadi bukti nyata terhadap janji Allah SWT kepada hambaNya, selain menguatkan tekad untuk kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Syarikat pengendali umrah dan pelancongan, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., berkongsi enam lokasi utama yang mustajab untuk berdoa di Tanah Suci sebagai panduan kepada bakal jemaah, merangkumi tempat-tempat yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam.
Menurut wakil Andalusia, antara lokasi paling utama ialah Multazam, ruang di antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah yang dianggap tempat paling hampir serta paling mulia pada Kaabah.
“Ulama menyatakan ia antara lokasi mustajab untuk berdoa berdasarkan amalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat,” katanya.

Lokasi penting seterusnya ialah Hijr Ismail, yang turut termasuk dalam kawasan Kaabah. Solat dan doa di ruang itu dianggap sangat afdal kerana kedudukannya yang penuh keberkatan, menjadikannya antara tempat pilihan jemaah bagi memohon hajat.
Andalusia turut menyenaraikan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah, yang diiktiraf sebagai ‘taman daripada taman syurga’.
Raudhah merupakan lokasi paling sahih dan disepakati ulama sebagai kawasan mustajab doa, justeru jemaah digalakkan memperbanyakkan solat dan munajat di sini.

Makam Nabi Ibrahim juga menjadi lokasi berdoa yang utama, khususnya selepas menunaikan solat sunat dua rakaat seusai tawaf.
Kawasan di belakang makam tersebut turut disarankan sebagai waktu dan tempat yang sesuai untuk berdoa kerana hati berada dalam keadaan tenang selepas mengelilingi Kaabah.
Jemaah turut digalakkan memanfaatkan keberkatan Telaga Zamzam, dengan doa ketika meminum air zamzam dianggap amat mustajab berdasarkan hadis sahih.
Niat khusus seperti kesihatan, rezeki atau apa jua hajat dianjurkan ketika menikmati air berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Andalusia giat melaksanakan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma menerusi cabutan bertuah mingguan.

Antara hadiah menarik termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap Sabtu sepanjang Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.
habis
