
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang meluluskan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost Years).
Selain itu, Mahkamah Rayuan turut memberi ruang selama 180 hari untuk mencapai persetujuan mengenai pembayaran hak 40 peratus kepada Sabah sementara menunggu proses rayuan selesai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan harapan agar rundingan tetap diteruskan walaupun kes masih dalam proses mahkamah, dengan keutamaan diberikan kepada usaha mencari penyelesaian secara rundingan antara kedua-dua pihak.
“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Hajiji, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas (1974-2021), ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya.
Hajiji dalam pada itu mengulangi pendirian kerajaan negeri yang membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan terbaharu mahkamah.
“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan kerajaan negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghormatinya.
Tarikh tentatif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.






