
KUALA LUMPUR: Hampir 300 pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan di Sarawak gagal melapor diri untuk bertugas sebelum 1 Oktober.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Srawak, Dr Sim Kui Hian berkata, daripada 542 jawatan pegawai perubatan yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penempatan di Sarawak, hanya 249 orang hadir melapor diri, manakala 293 calon, atau kira-kira 54 peratustidak berbuat demikian.
“Kami memohon 650 calon untuk mengisi kekosongan jawatan, namun hanya diberikan 542 penempatan.
“Lebih ramai doktor tidak hadir berbanding yang melapor diri,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post.
Kui Hian berkata, situasi ini memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan di negeri itu yang kini dianggarkan berdepan lebih 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan.
Sebelum ini, beliau mendedahkan tujuh hospital awam utama di Sarawak mengalami kekurangan kira-kira 11,000 petugas kesihatan, termasuk doktor, jururawat dan kakitangan sokongan lain.
Anggaran itu dibuat berdasarkan lawatan pasukan sumber manusia KKM ke negeri berkenaan pada Julai lalu.
Beliau turut menyuarakan harapan isu kekurangan pegawai perubatan ini dapat ditangani secara menyeluruh melalui mesyuarat jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan datang, termasuk meneliti semula proses pengambilan dan penempatan pegawai kesihatan di Sarawak.