BEAUFORT: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan hanya pemimpin yang berasal daripada Sabah layak memimpin negeri itu dan bukan pemimpin luar.
Beliau berkata, aspek kelahiran calon adalah syarat utama pihaknya dalam pemilihan calon wakil rakyat menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), selain mengambil kira kesetiaan dalam perjuangan parti.
“Siapa saja, apa pun latar belakang agama atau bangsa, yang paling penting ialah membangunkan negara dan negeri yang kita wakili.
“Bagi meningkatkan Sabah dari segi kewangan, kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik, ia perlu dipimpin oleh pemimpin yang memang asal-usulnya dari Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Kuala Penyu di Command Center Sweet Cottage, Kampung Pintas, di sini, hari ini.
Johari berkata, UMNO tidak akan membawa calon luar atau memilih mereka yang gemar melompat parti.
“Kita mahu orang yang sejati dalam perjuangan parti, sejati dalam BN dan bekerja walaupun dalam keadaan kalah atau menang,” katanya.
Jelas beliau, rakyat akan mendapat manfaat sepatutnya sekiranya calon BN bagi DUN Klias, Osin Jilon, dan DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat, memenangi PRN17.
“Jika kedua-dua calon ini berjaya, Beaufort akan mempunyai seorang Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri daripada BN, maka semua rakyat dalam kawasan ini akan dapat manfaat,” katanya.
Beliau juga menyatakan kepuasan terhadap persiapan jentera parti bagi menghadapi PRN17 di kawasan itu.
