
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan seramai 19,179 guru sekolah menengah dan rendah memilih bersara awal sejak 2022 hingga Mei tahun ini, kebanyakannya kehilangan minat meneruskan kerjaya sebagai pendidik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan data KPM, 5,306 guru bersara awal pada 2022, manakala 2023 seramai 6,394 orang, 5,082 (2024) dan 2,397 (Mei 2025).
Beliau berkata, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal memberikan alasan tidak lagi berminat.
“Masalah keluarga mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas 5.37 peratus dan masalah peribadi (2.08 peratus),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai berapa ramai guru memilih untuk bersara awal bagi 2022 hingga 2024 dan langkah KPM menangani isu kekurangan guru.
Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru.
“KPM telah membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah KPM melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021.
“KPM juga telah membangunkan dokumen deskripsi tugas sejak 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas yang spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif,” katanya.