KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan bahawa pasukan guamannya menjalankan pembelaan secara pro bono, iaitu tanpa sebarang bayaran.
Beliau berkata, keputusan untuk mengambil kes tersebut dibuat atas dasar keprihatinan terhadap usia tertuduh yang masih di bawah umur.
“Saya sedih dan sebagai bapa, memandangkan mereka masih kanak-kanak. Sebab itu saya lakukan secara pro bono bersama peguam lain,” katanya ketika ditemui sebelum prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Kenyataan itu turut menolak dakwaan orang ramai yang mengaitkan kelima-lima remaja yang dituduh merupakan anak daripada kalangan orang ternama (VVIP), sedangkan pembelaan dibuat tanpa sebarang bayaran ahli keluarga remaja terbabit.
Pasukan guaman diketuai Ram Singh turut disertai oleh peguam Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Dalam prosiding tersebut, mahkamah mengeluarkan perintah larangan (gag order) bagi menghalang pendedahan identiti kelima-lima remaja tertuduh, memandangkan mereka masih di bawah umur.
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai prosiding kerana terikat dengan perintah larangan tersebut.
