KOTA KINABALU: Lima remaja yang dikaitkan dengan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di sini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup, bagaimanapun identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara pukul 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau berkata, hanya perkara itu boleh didedahkan, manakala hal lain yang berkaitan prosiding kekal dirahsiakan berikutan perintah larangan dikeluarkan mahkamah.
Selain Nor Azizah, pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.
Pasukan peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan, manakala baki empat tertuduh lagi diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September dan 16 Oktober depan, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
