
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
“Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan.
“Kita juga bernasib baik kerana telah meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Sabah dan Sarawak. Langkah ini sangat tepat pada masanya, tetapi secara adilnya kepada Kementerian Pendidikan, mereka juga sudah mempunyai garis panduan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 bertemakan Memperkasakan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Perundangan demi Pertumbukan Inklusif dalam Era Digital di sini, hari ini.
Azalina berkata, Suhakam telah menyuarakan kebimbangan bahawa kedua-dua pihak iaitu pelaku dan mangsa adalah kanak-kanak, justeru Akta Kanak-Kanak 2001 masih terpakai kepada mereka.
“Ini perkara yang perlu dibincangkan oleh Jemaah Menteri, sama ada wajar diwujudkan satu proses lain apabila ia melibatkan kanak-kanak, seperti penubuhan sistem tribunal atau sama ada perlu dipertimbangkan undang-undang yang berbeza, untuk membolehkan pemulihan digunakan sebagai bentuk hukuman,” katanya.





