KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan kehilangan beberapa spesies ikan jerung dan pari dalam tempoh hayat akan datang sekiranya aktiviti eksploitasi terhadap hidupan marin itu terus berleluasa.
Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam satu kenyataan memberi amaran itu susulan pendedahan mengenai perdagangan dalam talian yang menunjukkan eksploitasi bernilai RM326 juta melalui platform e-dagang utama.
Pegawai Komunikasi Kanan Marin WWF-Malaysia, Serena Adam, berkata populasi jerung dan pari di negara ini merosot secara ketara dalam tempoh antara 30 hingga 50 tahun lalu, dengan risiko kepupusan semakin meningkat dalam dekad mutakhir.
“Jika tekanan semasa berterusan, khususnya terhadap spesies pantai dan air tawar yang amat terdedah, kita mungkin kehilangan beberapa spesies lain sepanjang hayat kita,” katanya.
Menurut Serena, Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam perdagangan global jerung dan pari, dan antara pengimport terbesar sirip jerung dari 2010 hingga 2018, selain merupakan pengimport keempat terbesar daging pari dunia, kebanyakannya dari Indonesia.
Beliau berkata permintaan domestik terhadap daging pari yang tinggi turut mencerminkan risiko ekologi sekiranya perdagangan tidak dikawal dengan lebih ketat.
“Perdagangan yang melibatkan spesies terancam dan kritikal ini masih berlaku kerana kebanyakannya belum dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang Malaysia.
“WWF menyokong perlindungan lebih luas melalui cadangan berasaskan sains ketika negara merangka pindaan kepada Akta Perikanan,” ujarnya.
Serena turut menegaskan kepupusan jerung dan pari boleh membawa kepada keruntuhan ekosistem dengan mengganggu jaringan makanan, merosakkan terumbu karang dan padang lamun, serta menjejaskan produktiviti perikanan pesisir.
“Perdagangan yang tidak mampan hari ini boleh menjejaskan sumber perikanan yang menjadi kebergantungan masyarakat pada masa depan,” katanya.
WWF-Malaysia komited menjalankan penyelidikan berkaitan kesihatan populasi, mitigasi tangkapan sampingan, pemetaan habitat kritikal, program komuniti seperti pelepasan hidup juvenil di Sabah serta pemantauan perdagangan dalam talian bersama Traffic.
Serena menegaskan perlindungan undang-undang lebih kukuh dan pengurusan perikanan lebih tegas amat penting bagi memastikan biodiversiti serta mata pencarian komuniti maritim terus terpelihara.
