
KUALA LUMPUR: Isu membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) dilihat semakin mencabar keharmonian negara, dengan sebilangan pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan nilai dan penghormatan terhadap institusi raja.
Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohamad Faisol Keling berpendapat, nilai institusi raja yang selama ini menjadi tonggak perpaduan dan kestabilan negara, kini dilihat semakin terhakis dalam wacana awam, terutamanya di media sosial dan ruang politik.
“Ini perlu dibendung segera sebelum ia membawa kepada implikasi yang lebih buruk. Rakyat perlu sentiasa sedar dan menghargai peranan institusi beraja yang menjadi antara teras utama dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Institusi raja bukan sahaja simbol perpaduan, tetapi juga elemen penting dalam sistem kehidupan dan pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi Ceritera di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Faisol, peranan institusi raja dalam sistem pemerintahan negara semakin disedari rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, apabila berlaku perubahan kerajaan dan proses pelantikan Perdana Menteri yang melibatkan budi bicara dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, situasi politik selepas 2018 telah membuka mata rakyat terhadap kepentingan institusi beraja yang selama ini dilihat sebahagian besar sebagai simbol semata-mata.
“Sebelum ini disebabkan kestabilan politik, peranan institusi raja mungkin tidak begitu ketara dalam kehidupan harian rakyat. Namun selepas 2018, rakyat mula memahami bahawa raja berperanan penting dalam menjaga kelangsungan negara, termasuk dalam pelantikan Perdana Menteri berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui Akuan Bersumpah (SD),” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi raja bukan hanya pelindung agama Islam, tetapi juga berperanan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
“Sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi raja atau pengabaian terhadap titah Baginda boleh menjejaskan kestabilan negara. Ini bukan sekadar isu protokol, tetapi isu perlembagaan dan keharmonian negara,” tambahnya.
Jelas beliau, ketaatan dan penghormatan terhadap institusi beraja tidak hanya terletak di bahu rakyat, tetapi juga wajib dipatuhi oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Selain itu katanya, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk kepada batasan undang-undang demi memastikan keharmonian dalam masyarakat.
Katanya, walaupun sistem demokrasi di Malaysia mengiktiraf hak rakyat untuk menyuarakan pendapat, kebebasan itu harus diamalkan secara bertanggungjawab dan mengikut peruntukan yang ditetapkan.