
KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) mengiktiraf Asia Tenggara secara rasmi sebagai zon bebas senjata berkenaan.
Kebimbangan itu disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini, melalui ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) bermula hari ini hingga Jumaat.
Tegas beliau, Asia Tenggara kekal satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diiktiraf secara rasmi oleh NWS melalui penandatanganan dan pengesahan Protokol Perjanjian.
“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kesediaan NWS untuk berinteraksi dengan ASEAN ke arah menandatangani dan mengesahkan Protokol Perjanjian berkenaan.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian terbabit bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi satu komitmen yang hidup dan dinamik, serta menyumbang kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan global,” katanya.
Mohamad turut menegaskan ancaman dibawa oleh senjata nuklear terhadap penduduk dunia masih wujud.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua negara anggota ASEAN untuk kekal bersatu dalam usaha merealisasikan Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear.






