GENEVA: Projek Inklusif Digital NADI Malaysia meraih pengiktirafan antarabangsa apabila menjadi juara Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan bagi kejayaan memperkasakan komuniti terpencil melalui pembangunan kemahiran digital dan peningkatan kesalinghubungan.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis rasmi di Geneva.
Hadiah WSIS, yang dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi penghargaan kepada projek-projek ICT yang menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Inisiatif NADI di Pulau Banggi menjuarai kategori ‘C4: Capacity Building’ dan hasil kejayaannya menyediakan pendidikan literasi digital, latihan kemahiran serta peluang ekonomi kepada salah satu komuniti paling terpencil di Malaysia.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi impak transformasi digital yang dibawa oleh projek tersebut.
“Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
“Kejayaan ini adalah milik komuniti yang memanfaatkan kemahiran digital demi masa depan mereka, serta seluruh rakyat Malaysia yang menyokong visi negara yang inklusif dan terhubung,” kata Fahmi semasa menerima anugerah tersebut.
Pulau Banggi, yang terletak 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses melalui feri atau bot laju, mempunyai kira-kira 20,000 penduduk.
Ekonomi utama di pulau ini bergantung kepada perikanan, kelapa sawit, dan getah.
Namun, kedudukannya yang terpencil mengehadkan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), inisiatif NADI mewujudkan sebuah hab digital komuniti yang kini menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada pelbagai kumpulan termasuk nelayan, petani, pelajar dan usahawan kecil.
Usaha ini membolehkan mereka menguasai kemahiran digital untuk bersaing dalam ekonomi masa kini.
Projek ini membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk setempat – anak muda kini memiliki kemahiran ICT, wanita memulakan perniagaan mikro secara dalam talian, dan para usahawan tempatan berjaya meluaskan pasaran mereka.
Susulan kejayaan ini, inisiatif NADI diperluas ke kawasan yang kurang mendapat liputan, termasuk Pulau Mandi Darah, dengan sasaran meliputi seluruh negara menjelang 2035 melalui pelaksanaan modul latihan berskala, penubuhan lebih banyak hab komuniti, serta pembiayaan jangka panjang khususnya di Sabah dan Sarawak.
Projek Stingray II di Pulau Ketam turut menerima pengiktirafan sebagai juara bagi kategori ‘C2: Information and Communication Infrastructure’.
Projek ini menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer yang menghubungkan Kapar ke Pulau Ketam membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mendapat akses kepada perkhidmatan teleperubatan, dan perniagaan kecil menikmati pertumbuhan dalam ruang digital.
Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen Malaysia dalam memastikan kesaksamaan digital walaupun di kawasan yang paling terpencil.
NADI bukan sekadar sebuah projek, tetapi lambang iltizam negara untuk menyediakan peluang digital yang adil kepada seluruh rakyat.
Kejayaan ini mengangkat NADI sebagai antara program digital inklusif paling berkesan dan inovatif di peringkat global.
