
WELLINGTON: Dalang serangan tembakan di dua masjid di Christchurch pada 2019, Brenton Tarrant, gagal dalam usaha rayuannya untuk membatalkan sabitan serta hukuman penjara atas kesalahan membunuh 51 orang.
Lelaki berusia 35 tahun itu sebelum ini mengaku bersalah melakukan serangan paling buruk dalam sejarah moden New Zealand, sebelum dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol pada Ogos 2020.
Dalam rayuan yang difailkan pada Februari, Tarrant berhujah keadaan penjara yang didakwanya “menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan” menjejaskan keupayaannya membuat keputusan secara rasional ketika mengaku bersalah.
Dia turut mendakwa berada dalam keadaan kesihatan mental tidak stabil ketika perbicaraan berlangsung.
Namun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak hujah tersebut dan memutuskan bahawa pengakuan bersalah Tarrant dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan.
Mahkamah juga menyatakan keterangan Tarrant adalah tidak konsisten serta bercanggah dengan penilaian pakar kesihatan mental dan rekod pihak penjara.
“Bukti secara keseluruhan menunjukkan dia tidak mengalami kesan psikologi yang ketara ketika membuat pengakuan bersalah,” menurut keputusan mahkamah.
Panel hakim turut menyifatkan rayuan berkenaan sebagai tidak berasas kerana fakta kes tidak pernah dipertikaikan dan tiada pembelaan undang-undang yang sah dikemukakan.
Tarrant bersenjatakan senjata api separa automatik menyerang jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019, sebelum menyiarkan insiden itu secara langsung selama 17 minit.
Semua 51 mangsa terdiri daripada jemaah Muslim termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Tarrant sebelum ini juga cuba menarik balik rayuan tersebut menggunakan nama samaran, namun usaha itu ditolak mahkamah kerana tidak memenuhi syarat prosedur.
Peguam yang mewakili mangsa dan keluarga menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kelegaan besar kepada pihak terjejas.







