
PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menuntut penjelasan segera daripada kerajaan berhubung kes kecederaan parah membabitkan seorang anggota komando yang kini kritikal selepas didakwa dikenakan hukuman di sebuah kem tentera di Johor pada Mac lalu.
Peguam LFL, N. Surendran berkata, sehingga kini keluarga serta pihak guaman masih belum menerima penjelasan munasabah berhubung insiden yang menimpa Truper Abdul Hamid Talib, 25.
Menurutnya, mangsa kini kritikal apabila tidak sedarkan diri, tidak mampu bercakap serta bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dan tiub untuk menerima nutrisi.
Beliau berkata, Abdul Hamid turut mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang sekali gus berisiko mengalami hilang upaya kekal.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kecederaan itu berlaku ketika hukuman dikenakan ke atas mangsa di kem pada 11 Mac lalu, bukan akibat terjatuh seperti yang dimaklumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di pejabat LFL di sini, hari ini.
Turut hadir ialah ibu mangsa, Josmah Duim, 54, kakak, Noreliana Talib, 30, dan abang, Saifudin Sajali, 29.
Surendran berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada 14 Mac di Balai Polis Mersing, namun sehingga kini tiada perkembangan siasatan dimaklumkan kepada mereka.
“Kami dimaklumkan tiada sebarang pertuduhan dibuat dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan walaupun kes ini amat serius,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan, Kementerian Pertahanan serta pihak tentera perlu memberikan penjelasan penuh berhubung kejadian itu tanpa berlengah.
Katanya, pihaknya turut menuntut Ketua Polis Negara menubuhkan pasukan khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap insiden berkenaan.
Surendran menggesa agar semua anggota yang disyaki terbabit digantung tugas sementara siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan proses siasatan.
“Kes ini wajar diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh memandangkan tahap kecederaan yang dialami mangsa amat serius,” katanya.
Beliau turut menuntut semua pihak yang didapati bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Surendran berkata, satu suruhanjaya siasatan juga perlu ditubuhkan bagi mengenal pasti sama ada wujud amalan hukuman fizikal tidak sah dalam kem tentera.
Sementara itu, peguam keluarga mangsa, Suzana Norlihan Alias mendakwa terdapat usaha menyekat akses keluarga kepada laporan perubatan Abdul Hamid.
Menurutnya, laporan berkenaan hanya diperoleh selepas desakan dibuat terhadap pihak kem, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan.
Beliau turut mendakwa menerima maklumat bahawa hukuman fizikal tidak sah didakwa menjadi amalan dalam unit terbabit dan perkara itu perlu disiasat secara terperinci.
Suzana berkata keluarga mangsa kini menanggung beban kewangan sendiri bagi menyediakan keperluan penjagaan Abdul Hamid yang kritikal, termasuk ubat-ubatan dan keperluan harian seperti lampin pakai buang serta susu khas






