
KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA, antara tiga rakyat Malaysia yang ditahan selepas kapal dinaiki dipintas rejim Israel, awal pagi tadi.
Kapal yang dinaiki ZRA adalah Arkham III atau Al-Faluja, manakala dua lagi rakyat Malaysia iaitu Dr Jihan dan Kapten Osman menaiki kapal Eros I.
Terdahulu media melaporkan konvoi kapal Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan ancaman apabila bot tentera Israel mengepung dan memintas 11 kapal GSF secara tidak sah berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
GSF menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu merupakan pelanggaran secara jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
“Flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa kini berdepan ancaman apabila kapal tentera Israel dilaporkan mengepung dan memintas sekurang-kurangnya 11 kapal.
“Bot tentera Israel secara tidak telah mengepung flotila ini di perairan antarabangsa serta mengancam penculikan dan keganasan.
“Kerajaan-kerajaan mesti bertindak segera untuk melindungi flotila ini. Lindungi flotila. Tamatkan kepungan. Bebaskan Palestin,” menurut kenyataan itu hari ini.






