
PUTRAJAYA: Perkhidmatan saringan kesihatan termasuk pengambilan darah di farmasi komuniti hanya dibenarkan dijalankan di fasiliti kesihatan yang berdaftar dan berlesen mengikut undang-undang sedia ada.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, prosedur pengambilan darah atau phlebotomy merupakan satu proses klinikal yang memerlukan pematuhan ketat terhadap standard keselamatan serta pengurusan risiko yang ditetapkan.
Menurut KKM, berdasarkan Seksyen 2 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), mana-mana premis yang menjalankan perkhidmatan saringan kesihatan termasuk pengambilan darah wajib berdaftar dan memiliki lesen sah.
“Premis yang menjalankan aktiviti pengambilan darah dianggap menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan dan tertakluk kepada keperluan pendaftaran serta pelesenan di bawah Akta 586,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menegaskan mana-mana pihak yang menjalankan perkhidmatan tersebut tanpa lesen yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang berat.
“Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas kementerian.
KKM mengiktiraf peranan farmasi komuniti dalam membantu sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, namun aspek keselamatan dan kualiti perkhidmatan perlu sentiasa dipatuhi.
Kementerian turut memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan semua perkhidmatan kesihatan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Langkah itu bukan sahaja bertujuan melindungi keselamatan pesakit, malah mengelakkan pengendali farmasi daripada berdepan risiko undang-undang dan reputasi akibat pelanggaran peraturan.





