
KUALA LUMPUR : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur kerana dikhuatiri boleh memberi kesan negatif kepada akhlak serta nilai masyarakat.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya berharap penganjur menilai semula konsep festival tersebut sebelum diteruskan.
“Jawi kesal dengan penganjuran program ini dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya.
“Selain itu Jawi harap pihak penganjur cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Festival berkenaan yang dijadualka bermula hari ini hingga 2 Mei depan di Bukit Bintang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa.
Acara yang menggabungkan elemen air, visual memukau dan muzik bertenaga tinggi itu dijangka menjadi antara tarikan hiburan paling ‘panas’ di ibu negara, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung.
Hanifuddin berkata, bantahan berkenaan turut disokong pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan Bayan Linnas Siri Ke-351.
Menurutnya, penulisan yang bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan’ itu dengan jelas menyatakan Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.
“Justeru, Jawi akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari ini (30 April 2026) selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus serta rakyat Malaysia secara amnya.
“Jawi juga akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah ALLAH SWT serta menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat,” ujarnya.





