
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran dan santan kelapa segar ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap tekanan kos bekalan makanan dalam negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peningkatan itu dikesan dalam tempoh pemantauan antara 20 hingga 22 April lalu, khususnya membabitkan barangan basah.
Katanya, harga sayur tertentu menunjukkan kenaikan daripada RM6.06 sekilogram kepada RM6.51 sekilogram, manakala bayam hijau meningkat hampir lima peratus kepada RM5.59 sekilogram.
Katanya, kenaikan lebih ketara turut melibatkan santan kelapa segar yang mencecah RM16.41 sekilogram sekali gus menjadi antara komoditi makanan dengan peningkatan tertinggi dalam tempoh berkenaan.
“Perkembangan ini memberi isyarat awal bahawa tekanan kos input dan logistik mula mempengaruhi rantaian bekalan makanan domestik.
“Sehubungan itu, pemantauan tidak boleh hanya tertumpu di peringkat harga runcit semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara menyeluruh bermula dari peringkat huluan,” katanya dalam sidang media taklimat berkaitan krisis bekalan global, hari ini.
Ujarnya, antara faktor yang perlu diberi perhatian termasuk kos baja, diesel, tenaga, bahan mentah serta aspek pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.
Akmal menjelaskan harga makanan terpilih lain masih berada dalam keadaan terkawal dengan perubahan kurang daripada 10 peratus.
“Antara barangan yang mencatatkan kenaikan ialah ayam standard yang meningkat kepada RM9.70 sekilogram serta telur ayam gred A kepada RM3.93 bagi 10 biji.
“Namun, terdapat juga beberapa komoditi yang menunjukkan penurunan harga seperti daging lembu dan ikan kembung,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan pemantauan rapi serta mengambil langkah intervensi bersesuaian bagi mengurangkan kesan kenaikan kos kepada pengguna.
Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan harga makanan serta menangani tekanan kos input global yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.






