
SEREMBAN : Dakwaan bahawa Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO- Barisan Nasiona (BN) berhasrat untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar disangkal beliau sendiri, susulan tindakan menarik sokongan terhadap pentadbiran yang diketuai Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jelasnya, soal pelantikan Menteri Besar bukan ditentukan oleh UMNO, sebaliknya berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut beliau lagi, langkah yang diambil bukan bertujuan merebut jawatan tersebut. Malah, beliau menegaskan tidak mempunyai keinginan untuk menjadi Menteri Besar, apatah lagi sudah memegang peranan sebagai Exco kanan.
“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah pun menjadi exco kanan dan perbincangan kita bukan nak jadi Menteri Besar dan saya bukan nak jadi Menteri Besar.
“Sesiapa saja boleh menjadi Menteri Besar, saya boleh, Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi) boleh, Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong) boleh. Jangan salah faham…,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.
sekali lagi menegaskan bahawa tindakan UMNO-BN itu dibuat demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri kekal stabil serta dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.
Katanya, keputusan tersebut diambil selepas melihat kegagalan Aminuddin dalam menangani kemelut yang melibatkan institusi diraja serta adat yang sedang berlarutan.
“Setelah apa yang berlaku ini, kita sedang meneliti, apakah pilihan mengikut perlembagaan yang boleh diambil oleh UMNO-BN bagi memastikan kestabilan terus wujud di dalam menghadapi kemelut ini.
“Pandangan saya bahawa Menteri Besar sudah hilang keyakinan untuk meneruskan dan menerajui kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah pun menghantar permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk memaklumkan mengenai penarikan sokongan terhadap Menteri Besar.





