
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Anwar berkata, keputusan itu adalah titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda semalam.
“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.
“Setakat ini, saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik.
“Tidak menyentuh sama ada institusi Raja atau Undang, kita muliakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, hari ini.
Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.
Perdana Menteri berkata, kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan sebarang implikasi lain serta menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga menjangkakan untuk bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan perkembangan isu tersebut.
Anwar meminta semua pihak untuk memberikan ruang bagi membolehkan rundingan dijalankan dengan baik melibatkan sebarang keputusan sistem perundangan di negeri berkenaan.



