
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham digantung daripada Persidangan DUN Selangor selama dua hari susulan mengingkari arahan Speaker DUN, Lau Weng San.
Kekecohan bermula apabila Muhammad Hilman bangkit untuk meminta kebenaran bagi mengemukakan soalan tambahan, sebelum Weng San mengarahkan beliau supaya duduk bagaimanapun ia tidak dihiraukan wakil rakyat berkenaan.
Weng San kemudian mengarahkan Muhammad Hilman untuk keluar dan digantung selama dua hari sehingga esok.
Semalam, dua ADUN dari Perikatan Nasional, Dr Afif Bahardin dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah diarah keluar dewan serta digantung tiga hari.
Penggantungan itu dibuat Weng San selepas kedua-duanya membangkitkan usul bagi merujuk Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Usul terbabit didakwa berkaitan dengan tindakan Siew Ki mempertikai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan ternakan babi di negeri ini.





