
PUTRAJAYA: Simposium berprestij Mechanical and Electrical on Water Symposium (MEWS) 2026 menghimpunkan pakar-pakar sektor air bagi membincangkan perkembangan terkini dalam teknologi hidromekanikal dan elektrikal yang memacu kelestarian sistem air negara.
Bertemakan Current to Creation: The Evolution of Hydromechanics, MEWS 2026 menjadi platform penting dalam memperkenalkan inovasi baharu yang mampu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos penyelenggaraan serta memperkukuh daya tahan infrastruktur air menghadapi cabaran perubahan iklim.
Simposium anjuran Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) melaui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) yang berlangsung selama satu hari itu menampilkan pelbagai sesi pembentangan teknikal, forum panel dan perkongsian kes kajian yang merangkumi pelbagai topik integrasi teknologi digital seperti Internet of Things (IoT) serta kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan aset air.

Salah seorang peserta, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Ts. Mohamad Saiful Azhar Harun berkata, simposium berkenaan memberi peluang kepada para peserta untuk mendekati dan menimba ilmu bersama pakar-pakar dalam industri.
“Saya sangat berterima kasih kepada penganjur kerana menghimpunkan pakar dalam bidang kejuruteraan, golongan akademik dan pemain industri sektor air negara.
“Apa yang menarik, kita dapat mempelajari teknologi baharu untuk menambahbaik operasi harian terutama apabila berdepan dengan musim monsun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Pengarah BW Perunding, Ir. Wan Muhammad Wan Affandi pula memberitahu, melalui simposium berkenaan dia dapat mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan sistem dan teknologi yang ingin digunakan oleh JPS.
Dia berharap, Internet of things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) boleh diperluaskan lagi kepada cabang penyelenggaraan peralatan.
“Melalui peluasan berkenaan, kita dapat memantau peralatan-peralatan tersebut dengan lebih efisien dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Synergy Prestige Sdn, Bhd., Mazlan Abdullah menambah, simposium tersebut memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk bekerjasama bersama JPS dalam menangani pelbagai masalah terutama banjir.
“Sebagai contoh, teknologi hidromekanikal sangat penting dalam memastikan pengawalan banjir di dalam negara ini,” katanya.
Dalam mendepani cabaran perubahan iklim global, PETRA serta JPS terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi memastikan kemampanan sektor air negara terutamanya dalam pemerkasaan teknologi dan inovasi terkini.
Ia sejajar konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.






