
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Pengerusi Felda, Datuk Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa 8 Jun lepas.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, penarikan balik kurniaan darjah itu dibuat susulan Mohd Isa disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Tindakan berkenaan adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika penerima disabitkan dengan sesuatu kesalahan,” menurut kenyataan itu hari ini.
JPM memaklumkan keputusan berkenaan selaras dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 7 September 2024.
Pada 10 Februari lepas, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel melalui bekas pegawai khasnya Muhammad Zahid Md Arip.






